Tuesday, 3 June 2014

Nazim Zon Utara 1 Menjuari Keseluruhan Festival NAZIM 2014


SHAH ALAM, 31 Mei – Pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan dari Zon Utara 1 berbaloi apabila berjaya menggondol gelaran Johan Keseluruhan di Festival Kebangsaan Kelab Anak-anak Hebat (NAZIM) 2014.

Menurut Ketua NAZIM Ipoh Ustazah Rosnah Khamis juga merangkap Ketua Pasukan Zon Utara 1, mereka terpaksa mengorbankan masa rehat cuti sekolah dengan melakukan latihan intensif berturut-turut.

Anak-anak yang berasal dari Ipoh, Kuala Kangsar dan Sri Iskandar ini juga terpaksa ‘berkampung’ di rumahnya bagi memudahkan sesi latihan.

Di samping itu, beliau juga perlu berhadapan dengan kesukaran mengumpulkan anak-anak ini disebabkan sekolah yang berlainan. Pada masa yang sama, beliau merasa gembira dan berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukan.

“Sangat seronok dan bersyukur berkat segala usaha dapat menang Johan Keseluruhan,” luahnya kepada wartawan ISMAweb. Beliau turut berterima kasih kepada ibu bapa yang turut memberikan sokongan sepanjang tempoh latihan yang dilakukan.

Selain menjuarai acara keseluruhan, Sri Iskandar, Kuala Kangsar dan Ipoh turut memenangi acara johan bagi acara coral speaking lelaki terbuka, hafazan perempuan tahap 2 , lelaki tahap 1 dan bercerita perempuan.

Pada festival yang dirasmikan oleh Ustazah Norlida Kamarudin, Pengerusi Biro Keluarga dan Wanita (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebanyak lima acara yang dipertandingkan seperti coral speaking, bercerita, hafazan, pidato dan nasyid.

Disediakan oleh: Nursabihah Mohtar

0 comments:

Post a Comment

Breaking News
Loading...
Copyright © 2013 Nazim Shah Alam All Right Reserved